Sabtu, 21 Julai 2012

Peranan Muzik Kepada Manusia


Muzik boleh menghilangkan perasaan yang tertekan, ketakutan, kekeliruan, kurangnya konsep kendiri dan sebagainya. Program Pendidikan Muzik yang baik boleh dikaitkan dengan pembelajaran kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran dengan mencapai perkara yang terkandung dalam setiap pembelajaran. Perkara-perkara tersebut adalah kemahiran mengetahui, kemahiran berfikir, kemahiran melaksana dan kemahiran untuk mencipta. Ini akan menjadikan seseorang yang mempunyai semua kemahiran ini lebih kreatif, inovatif, berpengetahuan dan intelektual. (Rozaimah Mohamed : 1997 : 60)
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam Pendidikan Muzik banyak melibatkan pergerakan sensori motor, penggunaan persepsi visual (belajar melalui penglihatan) dan auditori (belajar melalui pendengaran). Setiap pergerakan yang dilakukan adalah berdasarkan kepada irama dan melodi yang didengar dan dilihat setelah ditunjukkan oleh guru. Secara tidak langsung, ini mempengaruhi pembacaan murid untuk memahami setiap simbol huruf yang ada di dalam pembelajaran bahasa serta mempunyai kemahiran untuk mendengar arahan dan memberikan perhatian terhadap pengajaran yang dijalankan.
Kaedah muzik mempunyai tujuan dan faedah dalam meningkatkan pencapaian berbahasa bagi kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran seperti (Masrun 1990 : 90) : -
a.    Muzik merupakan teknik mengulangkaji atau pengukuhan satu-satu aspek isi pengajaran yang berkesan.
b.    Menjadi bahan rangsangan bagi memulakan pengajaran untuk menarik minat murid.
c.    Merupakan masa istirahat yang berfaedah, menghilangkan letih dan bosan.
d.    Keseronokan nyanyian atau muzik akan menghidupkan keinginan pelajar-pelajar untuk belajar, berfikir, mendengar dan mengeluarkan buah fikiran.
e.    Mengekalkan minat belajar, memberikan keseronokan dan menggerakkan murid mengambil bahagian dengan cergas.
Muzik terhasil apabila rangkaian bunyi yang diorganisasikan dengan betul. Muzik dicipta oleh manusia itu sendiri dan ia merupakan aktiviti manusia sama seperti bagaimana manusia mencipta bahasa, pakaian dan makanan. Dunia muzik amatlah luas dan meliputi segenap aspek yang kompleks. Ia bukan sahaja meliputi setiap muzik yang telah diciptakan manusia seperti nyanyian rakyat, simfoni, alatan muzik, vokal, elektronik, rock, balada dan sebagainya tetapi ia juga meliputi aktiviti seperti menyanyi, mendengar, menganalisis dan mencipta. Muzik terdiri dari notasi-notasi muzik mengikut nilainya. Muzik bukan hanya mengandungi komponen-komponen muzik seperti melodi dan irama yang ditetapkan, malah ianya juga boleh dikatkan dengan pelbagai kaedah samada bahasa, matematik dan sosial. Dengan kata lain, muzik adalah objek yang boleh digubah dan diubahsuai serta merupakan proses yang melibatkan tindakan menghasil dan menghasilkan semula muzik.
 Nyanyian adalah satu cara bukan lisan dalam mengetahui dan membolehkan  murid-murid menyatakan idea tanpa mengira keupayaan lisan mereka. Pada masa yang sama, nyanyian dapat membantu kanak-kanak memperkembangkan perbendaharaan kata dan pemahaman bahasa. Ini adalah kerana secara semulajadinya, nyanyian adalah multimodal, dimana ia merangsang mata, telinga dan otot yang seiring dengan minda. Kanak-kanak yang memunyai ketidakupayaan dalam satu sensori, masih dapat terlibat dalam muzik menggunakan deria-deria lain.
Di Malaysia khususnya, penghasilan muzik serta nyanyian secara umumnya adalah percubaan secara kolaboratif. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran nyanyian di sekolah-sekolah Malaysia, nyanyian pada kebiasaannya adalah dihasilkan dan dipelajari dalam kumpulan berbanding secaraindividu. Ini adalah lebih tepat untuk program muzik pra-sekolah dan sekolah rendah. Nyanyian sebagai satu seni yang kronologikal, dimana ia adalah dipelajari mengikut urutan serta mencabar minda untuk menfenalpasti bentuk dan merentasi masa, yang mana meruoakan satu kemahiran yang kerap diperlukan untuk perkembangan kanak-kanak yang menghadapi masalah ingatan dan mengenalpasti bentuk.
Melalui pendekatan nyanyian juga didapati bahawa murid mempunyai ingatan yang lebih baik terhadap bunyi sebutan suku kata, di mana murid dapat menyebut dengan tepat sesetengah suku kata.  Dalam mempelajari mana-mana bahasa pertuturan, faktor kebolehan mendengar menghalang seseorang itu mengajuk atau meniru bunyi-bunyi sesuatu bahasa yang dipelajari. Ramai daripada kalangan kita tidak dapat bertutur dalam bahasa yang tidak pernah kita dengar kerana tidak pernah mendengar bunyi bahasa berkenaan. Jordan Rita (1999) pula menyatakan bahawa kaedah Oral-Auditory adalah sangat berkesan untuk kanak-kanak bermasalah  pendengaran mempelajari bahasa dengan lebih berjaya melalui interaksi yang berterusan dan konsisten dengan bantuan dan sokongan persekitaran ahli keluarga.
(Chris dan Charles, 2001) juga memberikan panduan pengalaman muzikal murid-murid bermasalah pembelajaran. Panduan-panduan ini termasuklah penggunaan unsur nyanyian seperti renj, vocal, melodi, harmoni, irama, makna perkataan dan pergerakan.
Renj vokal murid-murid adalah terhad, biasanya dalam satu oktaf dan pada renj yang rendah, iaitu daripada not c ke c’. Guru perlulah bina keyakinan murid pada renj yang rendah, dan diikuti dengan memperkembangkan renj yang lebih tinggi.
Daripada segi melodi, guru perlu pilih lagu yang mempunyai jarak interval yang kecil dan elakkan daripada not yang melompat tinggi kerana renj vocal kanak-kanak secara umumnya adalah rendah. Irama yang digunakan perlulah terdiri daripada corak irama yang mudah untuk diikuti dan tidak terlalu kompleks agar ianya senang dipelajari.
Dalam penerapan unsur harmoni, perlu dihadkan penggunaan kord pada keyboard, Omnichord atau gitar. Lagu nyanyian akan menjadi lebih mudah semasa dipelajari.Dalam memberikan pengalaman muzikal kepada murid-murid bermasalah pembelajaran, makna perkataan dalam nyanyian perlu diberi perhatian. Pilih lagu yang sesuai dengan tahap intelektual umur daripada umur kronologikal murid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan